Thursday, March 25, 2010

Dalam Hati

"Siapa yang kau minat sebenarnya ni?"

Eddy Hangit tanya Jack Kobeng sambil hembus asap rokok.
Asap kaler biru keperang-perangan mula berderai dimakan udara sekitar. Memang enak sungguh rasanya dapat hisap rokok lepas makan.

Bukan selalu dapat hisap rokok lepas makan, sebab jangan kata nak dapat rokok. Nak dapat nasi pun susah. Detik-detik masih ada duit ini mesti digunakan sepenuhnya. Perut dan paru-paru perlu dijaga selalu.

"Ntahnya... siapa sebenarnya awek kau?"

Ajis Kumis menyambung pertanyaan dengan sambal makin mengering di jari. Lekas-lekas dia pergi sinki untuk basuh tangan. Akibat teringat kata orang tua, lambat basuh tangan adalah punca kahwin lambat. Rokok yang baru dicapai, dicampak kembali ke atas tikar. Tak sempat dibakar.

Ajis Kumis cuak. Ajis Kumis memang akur cakap orang tua.

"Awek gua? Takde"

Jack Kobeng jawab selamba sambil sambung baca Doraemon. Jack Kobeng lebih rela baca komik lepas makan dari hisap rokok. Bagi Jack Kobeng, hisap rokok tak ada faedah.

"Takkan takde? Sorang pun takde yang kau minat?"
Ajis Kumis tak puas hati.

"Ha'ah. Belum ada yang gua minat"
Jack Kobeng jawab sambil baring, tangan kanan pegang komik, tangan kiri jadi bantal. Sedap jugak baring atas tikar mengkuang plastik.

"Kiranya hati kau kosong la sekarang?"
Eddy Hangit tanya sambil cucuh bara puntung kat dalam tin biskut. Abu campur puntung rokok pun dah nak sampai bibir tin.

"Tak. Cukuplah Tuhan di hati gua"
Jack Kobeng yang jawab.

Eddy Hangit terus diam dan cuba ingat balik niat wuduk.


Wednesday, March 10, 2010

Cantik

Eddy Hangit, Ajis Kumis dan Jack Kobeng sama-sama menghabiskan hujung minggu mereka merayau sambil window shopping di sebuah kompleks membeli-belah tak terkemuka sangat di ibukota.

Seperti biasa, agenda utama golongan remaja tak ada duit macam mereka adalah mengusya awek.

Dengan air kotak di tangan, mereka duduk di tengah pusat kompleks sambil memerhatikan kesibukan manusia kota.

Sambil memerhati, mereka juga menilai erti kecantikan pengunjung lain.

"Uih.. tu comel.. haa.. yang tu cantik... yang tu pulak mantap! Perghh!..." Eddy Hangit agak meliar mengusya sambil mengomen.

"Yang dekat kaunter tu weh. Itu lah yang paling cantik!"
Jack Kobeng tunjuk pakai muncung bibir setelah puas guna bibir sedut air kotak soya.

Ajis Kumis turut memandang. Ajis Kumis mengangguk, kemudian menarik nafas panjang. Lalu Ajis Kumis mula bersyarah..
"Humm.. itu lah. Tapi kalau dalam cari awek ni, kita tak boleh fikir pasal cantik je. Kita kena fikir agama dia, keturunan dia, harta dia. Education level kena fikir jugak. Leceh gak kalau tak sama level dengan kita. Kalau harap cantik je, tapi bengap, apa dapat?..."


"Dapat jilat pipi"
Jack Kobeng jawab dengan mata tak beralih pandang.
Eddy Hangit tersengih sambil urut belakang Ajis Kumis bagi dia tahan sabar.

Monday, March 1, 2010

Cinta Islami Kontemporari

Ajis Kumis bawa kereta agak huru-hara petang itu. Hati dia resah tak tentu arah... Kereta naik bukit, degupan jantung pun makin tak teratur.

Mata dia kejap-kejap pandang meter minyak. Bukan boleh percaya sangat meter minyak kereta Ford Lancer purba merahnya. Kadang-kadang nampak macam di takuk separuh, tapi jalan 2 km dah mula enjin semput. Inikan pula jarum meter betul-betul ada bawah sedikit dari huruf E.

Jiwa Ajis Kumis agak goyang sebenarnya. Cintanya hancur berkecai. Ajis Kumis baru tahu yang gadis diusyanya selalu ketika minum petang sudah ada pakwe. Ajis Kumis nampak sendiri gadis itu keluar dari pusat karaoke bersama seorang jejaka tampan. Ajis Kumis kecewa.

Ajis Kumis kontrol gelabah, dia lebih banyak beristighfar menenangkan hati.Ibunya pesan, jika hati gusar, banyak-banyak berzikir dan ingat Tuhan.

Alhamdulillah, dia sampai di stesyen minyak tepat pada masanya. Dengan selamba dia isi minyak 5 ringgit. Sama ada kedekut, atau memang miskin.

Ketika Ajis Kumis hendak meninggalkan Stesyen minyak, tiba-tiba..

"PONNN!!!"

Terkejut Ajis Kumis dibuatnya. Hampir mencarut dibuatnya. Tapi sebab takutkan balasan dosa, dia gantikan mencarut dengan mengucap.

Dengan terkejut bercampur marah, toleh belakang dengan laju.

"Hey! Ajis!"

Suara gadis memanggil dari dalam kereta proton saga iswara tak modified. Tingkap kereta dibuka, seorang gadis menunjuk muka sambil tersenyum riang dari dalam. Seronok sangat agaknya dapat jumpa Ajis Kumis.

"Eh! Akin!"

Perasaan marah hilang entah kemana. Giliran Ajis Kumis pula menyeringai manis. Bersih dan teratur giginya. Tak sia-sia dia rajin gosok gigi dua kali sehari. Guna ubat gigi ada perisa kayu sugi. Nak dapat pahala sunnah gamaknya. Dia memang tak pakai jenama-jenama barat macam colget. Takut syubahah.

"Tak sangka boleh jumpa kau kat sini la Ajis!"

Mereka parking, keluar dari kereta, bertenggek dan mula berbual.

Akin, atau nama penuhnya Nurul Sakinah kelihatan manis bertudung turki. Memakai spek ala old school, gaya spek OAG tahun 90an. Berbaju kemeja kotak-kotak lengan panjang. Seluar jeans dan kasut kanvas. Gaya seorang muslimah yang agak rock tapi sopan.

Senyum Ajis Kumis tak putus putus walaupun sedang rancak berborak. Terlalu indah pemandangan petang itu bagi Ajis Kumis.

Hampir dua tahun Ajis Kumis tidak berjumpa dengan Akin. Rindu sangat rasanya. Kali terakhir adalah ketika mereka sama-sama bertungkus-lumus siapkan projek akhir tahun ketika mereka belajar di sebuah kolej swasta tempatan.

Ketika konvokesyen mereka pun tak sempat bertemu. Cuma sempat melambai dari jauh. Mungkin tak ada rezeki.

Mereka berdua memang rapat ketika di hujung hujung pengajian mereka di kolej. Banyak masalah mereka berkongsi dan selesaikan bersama.

Tidak dinafikan keakraban itu sedikit membuahkan perasaan di hati Ajis. Adakah itu cinta?

Selama bersahabat dengan Akin, tak pernah sekali pun Ajis Kumis meluahkan rasa cintanya kepada Akin. Ajis Kumis hanya memendam dan menelan rasa itu jauh di dalam benaknya. Ajis Kumis tidak mahu keindahan persahabatannya rosak dan retak akibat tindakan bodohnya meluahkan kata-kata cinta.

Ajis Kumis sangat percaya kepada jodoh dan ketentuan Ilahi. Kalau ada jodoh, ada la tu.. Kalau memang tak ada jodoh, tak apa.. Apa boleh buat...

Mereka terus berbual. Waktu yang singkat dipergunakan sebaik-baiknya. Hanya isi-isi penting yang diceritakan. Ajis Kumis tak putus sengihnya sambil berborak. Hati lukanya ibarat sembuk kembali. Segala gusar hilang entah ke mana.

"Ok lah Jis! Dah nak Maghrib ni! Nanti aku email kau ye! Assalamualaikum!"

Waktu ibarat mencemburui mereka. Tapi Ajis Kumis tidak terlalu derita. 20 minit itu layak dipanggil sebagai antara minit-minit paling indah dalam sejarah hidupnya. Andai dia ada biografi kehidupan suatu hari nanti, 20 minit itu pasti akan di catit dengan tajuk besar.

Senyuman di bibir Ajis Kumis diteruskan walaupun Akin sudah lama berlalu pergi. Asap ekzos pun sudah pergi disapu angin yang lalu. Ajis mula naik kereta, hidupkan enjin, dan memandu kelajuan sederhana sambil tangan kiri menghidupkan radio.

"Alhamdulillah.. Subhanallah..."

Ajis Kumis memuji kebesaran Ilahi sambil memandu. Dia bersyukur kerana Tuhan menemukannya dengan ubat hatinya tatkala kegusaran menerpa. Memang sungguh tidak disangkanya, hati lukanya boleh terubat dalam sekelip mata. Ternyata Tuhan Maha Mengetahui.

Lagu Kopi Dangdut yang berkumandang di radio usang kereta, terasa amat enak menerobosi gegendang telinganya. Senyumnya berlarutan, sehingga sampai di rumah. Senyum tetap kekal walaupun letih mengah mendaki tangga bau hancing 10 tingkat kerana lif rosak. Nyaris-nyaris nak terpijak tahi kucing. Ini adalah fenomena biasa di rumah pangsa ibukota.

Ajis Kumis nyaris batal solat kerana hampir tersengih ketika solat. Selesai solat Isya' dia mula mencari port duduk paling selesa dalam rumah bujang itu.

"Hari ini layak dikatakan sebagai antara hari paling bahagia dalam hidup aku... alhamdulillah.."

Ajis Kumis bercakap sambil menyandar di dinding dan kepala mendongak merenung kipas. Hanya Eddy Hangit di sebelah mendengar dan buat-buat tekun. Jack Kobeng lebih tekun membaca komik. Maikel sudah berdengkur dalam gear dua.

Esoknya, Ajis Kumis masuk pejabat dengan penuh semangat. Perkara pertama dilakukannya adalah membaca bismillah. Perkara kedua adalah membuka email. Walaupun teruja beliau tetap sabar. Sabar itu separuh daripada Iman...

Ada satu email dari Akin.

Senyum Ajis Kumis makin mekar. Jarinya pantas mengklik email. Ada sedikit debar.

Tiba-tiba mata Ajis Kumis berkaca-kaca.

Terpapar di kepala email...

"Jemputan Walimatulurus Idzhar Hakim dan Nurul Sakinah"

Ajis Kumis minta MC.